Saturday, February 2, 2008

Cetus isu perkauman: Siapa dalang kes menconteng dinding surau di Kolej Ke-2 UM?

INSIDEN KOLEJ KE-2 UM

Siapa dalang menconteng bangunan ini? Tulisan tidak jelas seperti seorang yang tidak biasa dengan tulisan ini. (seperti baru belajar) Kemudian Al Quran masih tersusun rapi tanpa diganggu gugat. Yang dirosakkan adalah buku-buku di dalam surau. Adakah persatuan yang tidak suka dengan pengetua melakukan kerja-kerja ini?


Jabdin.J
Pemikirmahasiswaonline@yahoo.com

Sempena kehadiran YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri ke program alumni Day : Home Coming 2008 pada 02 Februari 2008 bertempat di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya sudah ada pihak cuba menangguk di air keruh apabila cuba mencetus isu perkauman dengan menconteng surau dinding Kolej Kediaman Ke 2. Katanya sudah ada usaha untuk mahu mengadakan demonstrasi semasa kehadiran PM itu.

Memang orang yang menconteng dinding surau itu cukup berani mengkhianati rumah Allah. Ada motif besar yang cuba disembunyikan dalam peristiwa ini apabila contengan yang dibuat di surau kolej terbabit dikatakan ditulis dalam bahasa India. Mungkin ia bermotif mahu memburukkan pihak lain dalam kes ini. Kes di Kolej ini menimbulkan rasa tidak senang yang mendalam apabila perkata “om” dikatakan di tulis di dinding surau.

PMIUM berlagak seperti hero. Benarkah PMIUM ikhlas berjuang?
Kajian Kes: Kes Contengan di Pejabat PMIUM suatu ketika dulu



Anda masih ingat dengan peristiwa contengan bangunan di pejabat PMIUM dulu? Pejabat PMIUM adalah pejabat yang dikawal 24 jam dan sentiasa mempunyai penghuni. (Kan PMIUM sangat aktif jadi pejabat sentiasa berorang). Persoalannya siapakah yang menconteng bangunan Pejabat PMIUM ini jika pejabat ini sentiasa dikawal 24 jam? Bodoh sangatkah pihak musuh mahu menconteng bangunan yang sentiasa dikawal 24 jam oleh ahlinya. Sendiri mahu fikirlah kan sejauhmana kebenaran isu ini.


Semoga mereka yang melakukan perbuatan ini mendapat hidayahnya? Hari ini PMIUM berhempas pulas untuk membina nama semula. Persatuan yang gagah sejak 30 tahun lalu tumbang dengan hanya 5 tahun oleh kekuatan mahasiswa aspirasi. Allah lebih Maha Adil dan Penyayang dengan hamba-hambanya yang benar.

Kes Kolej ke-2 UM

Siapakan dalangnya? Umum terlebih dahulu kita cuba memahami apa yang berlaku di Kolej ini.

Isunya mungkin bersifat peribadi apabila ada mahasiswa UM yang tidak berpuas hati dengan pengetua kolej ke-2 iaitu Profesor Dr. M. Rajentheran ( Pengetua KK2 dan Pensyarah di Jabatan Pengajian India, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya ) dan Mahaganapathy Dass a/l Paskaradass ( Penyelia kolej dan Penolong Pendaftar di Pusat Pelajar Antarabangsa, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Malaya). Tuduhan mereka ialah Kolej ini terlalu ramai mahasiswa India. Oleh itu mereka tidak berpuas hati.

Tidak sukar untuk menjangka dan menilai perlakuan siapakah yang melakukan perbuatan menconteng dan melakukan pencerobohan surau tersebut. Namun penulis tidak mahu menuduh sesiapa. Biarlah Allah yang membalasnya. Banyak perkara yang menyangsikan dalam kes ini.

Apapun paling penting Al Quran kitab suci Islam dalam surau ini tidak dirosakkan. Malah masih tersusun rapi. Kalau di luar negara yang melibatkan kaum dan agama sudah tentu kitab-kitab suci akan menjadi mangsa. Yang diconteng ialah hanya dinding dan juga menyepahkan buku-buku dalam surau tersebut. Betapa takutnya sipenceroboh. Mungkin dia masih memahami mengenai perkara dosa dan pahala?

Jadi siapakah dalangnya? Siapakah yang melaporkan kes? Siapakah yang gila publisiti dalam kes ini? Jika kes ini dijadikan isu perkauman rasanya pihak yang melakukan perkara ini sangat silap. Gerak saraf seperti ini sangat boleh dijangka. Anda mungkin sudah tahu siapa dalangnya? Mungkin lebih baik kita BERSUMPAH DENGAN AL QURAN SIAPA YANG MELAKUKANNYA. Semoga mereka yang melakukan perbuatan ini bertaubat kepada Allah. Wassalam.

Tuesday, January 29, 2008

MENGATA ORANG LEBIH BODOH !!!

"Kenyataan Tok Pa kelmarin yang mendesak mahasiswa Malaysia supaya berikrar untuk tidak terlibat dengan parti-parti politik tertentu di peringkat nasional disifatkan sebagai kenyataan paling bodoh pernah keluar dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.
"Adakah hujah ini berpunca daripada kebodohan Tok Pa berhubung falsafah perundangan Negara? Apakah beliau tidak mengetahui konsep ketertinggian perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara mahasiswa termasuk bertanding dalam pilihan raya?
sumber: Harakahdaily (PMN ajak Menteri Pengajian Tinggi debat- Intan Abdullah, Mon Jan 28, 08 3:30:57 pm MYT)



Macam biasa penulis memetik mana-mana kenyataan menarik untuk tatapan pembaca. Setidaknya kita boleh menerima pendapat lain yang berbeza dengan kenyataan mahasiswa pro pembangkang (bukan istilah pro mahasiswa- salah tu!! Sebab dah banyak kali dah istilah di tukar ganti.)

Berikut merupakan kenyataan PMN dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily (PMN ajak Menteri Pengajian Tinggi debat- Intan Abdullah, Mon Jan 28, 08 3:30:57 pm MYT). Antaranya ialah;-

1.) "Sila nyatakan di mana kawasan pertandingan anda di Parlimen/DUN. PMN mencabar Tok Pa (Mustapa) bertanding menentang suara mahasiswa," ujar Presiden PMN, Azlan Zainal dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily.

2.) "Kenyataan Tok Pa kelmarin yang mendesak mahasiswa Malaysia supaya berikrar untuk tidak terlibat dengan parti-parti politik tertentu di peringkat nasional disifatkan sebagai kenyataan paling bodoh pernah keluar dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.

3.) "Adakah hujah ini berpunca daripada kebodohan Tok Pa berhubung falsafah perundangan Negara? Apakah beliau tidak mengetahui konsep ketertinggian perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara mahasiswa termasuk bertanding dalam pilihan raya?

4.) Kenapa beliau perlu takut bersemuka dan berdepan dengan PMN? Bukankah UMNO/BN terlalu kuat dalam pentas politik nasional?" katanya lagi.

5.) "Mahasiswa sudah lama menolak AUKU kerana ia terlalu bodoh untuk dipatuhi oleh mereka. Mengapa hari ini, PMN perlu tunduk pada akta yang bodoh ini?"

6.) "Kami bukan budak suruhan Tok Pa yang sanggup diperbodohkan, tetapi kami mahasiswa yang merdeka dan sanggup berdepan dengan apa jua ugutan KPT demi mengasak agenda perubahan dalam pilihan raya ini," demikian ujarnya. - mns

Anda saksikan sendiri bagaimana seorang mahasiswa yang masih belajar di UM dan belum memiliki ijazah sarjana muda pun sudah berani mengatakan orang lain bodoh!. Mahasiswa aspirasi tidak pernah bersikap ... seperti ini. Mereka kalau mahu berdebat dan tidak bersetuju dengan menteri mereka suarakan dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang dibentuk sejak 2001 itu. (ditubuh zaman penulis dulu).

Sebenarnya tidak perlu mencabar sesiapa.. bertanding sahaja kalau ada kemampuan. Itu jawapan yang lebih mudah. Polemik hanya satu pembaziran tenaga jika sekiranya selepas ini PMN tidak jadi bertanding dalam pilihan raya. Ini jauh lebih memalukan dan memang gimik!!. Oleh itu fokus jika mahu bertanding silakan.

Ada juga kenyataan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Pada penulis, Tokpa dan universiti mempunyai asas menggunakan undang-undang AUKU yang tidak disukai itu. Penulis pun pernah juga berbincang dengan rakan-rakan peguam alumni aspirasi mengenai AUKU dan Perlembagaan Malaysia itu khususnya kebebasan bersuara yang rata-rata mahasiswa selalu utarakan. Penulis sertakan dalam artikel ini

PERKARA 10. KEBEBASAN BERCAKAP, BERHIMPUN DAN MENUBUH PERSATUAN.


(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4);
(a) tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;
(b) semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;
(c) semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan;

(2) Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan:
(a) ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai buruh atau pelajaran.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Kalau PMN mahu mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi maka eloklah difikirkan secara mendalam mana-mana ayat yang penulis hitam dan condongkan itu.

Ia adalah sesuatu yang amat jelas bahawa undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Cetak Mencetak, Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah bagi tujuan kepentingan keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam. Ia jelas boleh diluluskan oleh Parlimen. Oleh itu pemakaian terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti terpakai di Universiti adalah sah dan diterima perlembagaan persekutuan sebagai Perlembagaan Tertinggi Malaysia. Tidak kah itu jelas?

Kalau kena tindakan dibawah akta AUKU mahasiswa masih boleh membela diri berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan. Lagipun sudah banyak terbukti mahasiswa yang terlibat dengan salah laku AUKU dibebaskan atas sebab teknikal. Ini kan teknikal. Bukankah sudah ramai peguam dan pemimpin politik di Malaysia menang dengan cara teknikal. Sendiri mahu pandailah kena tangkap ke tak kena tangkap. Tak payah bising-bising melalak atau nak kata orang lain bodoh!. Nanti terkena diri sendiri...Lagipun mahasiswa kalau belum habis menuntut eloklah bermuhasabah diri dulu.

Monday, January 28, 2008

Parti Mahasiswa Negara:Antara Akademi Fantasia dan Raja Lawak

Penulis membaca artikel Maharaja Zhou yang baik. Sila baca. Mungkin PMN harus berfikir.
Akademi Fantasia tidak salah lagi merupakan rancangan hiburan realiti yang paling sukses di Malaysia. Kewujudan rancangan ini sebenarnya memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menjadi artis segera. Bukan kualiti sebagai penghibur yang menjadi ukuran tetapi kepopularan ataupun undian SMS yang menjadi kayu ukur sebenar. Angan-angan untuk menjadi kaya sekaya Mawi menjadikan ia satu inspirasi bagi sesetengah golongan, dan ini menambahkan lagi motivasi bagi puak-puak ini untuk menyokong kehadiran rancangan seumpama ini.

Parti Mahasiswa Negara(PMN) pula adalah rentetan daripada gabungan SMM, Gamis serta BBMN dan mereka berusaha untuk menubuhkan suatu parti yang sah untuk membolehkan mereka bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Di dalam weblog mereka, seolah-olah kewujudan mereka adalah alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif (BA). Bagi mereka, kesemua parti yang ada adalah umpama badut-badut sarkas yang tidak mempedulikan nasib rakyat.

Apa kaitan partai baru ini dengan Akademi Fantasia? Pertamanya, ia adalah ia adalah pertubuhan yang bergerak atas fantasi mereka semata-mata. Mereka menganggap bahawa undi rakyat seperti undi SMS peserta-peserta AF. Mudah ditabur dan boleh didapati dengan senang. Dan mereka memasang angan-angan bahawa untuk mendapatkan calon dan dana adalah lebih mudah dari mendapatkan calon bagi AF itu sendiri. Padahal, parti-parti yang lebih besar dan tua pun sukar untuk mendapatkan calon dan tidak kurang juga yang tercungap-cungap untuk mendapatkan wang pertaruhan.

Namun, penulis sebenarnya melihat idea penubuhan PMN ini adalah langkah yang "bijak" untuk jangka masa pendek ini terutamanya bagi pilhanraya kampus yang akan datang. Tetapi, penulis dapat menghidu bau hamis Gamis dan pakatannya untuk sekian kalinya sekali lagi.

Tujuan sebenar PMN ditubuhkan adalah atas 2 faktor utama:

1) Membuktikan bahawa pakatan-pakatan yang menubuhkan PMN terutamanya PMI bukanlah alat PAS

2) Mempopularkan gerakan PMI yang semakin hilang dinamisnya kebelakangan ini
Membuktikan bahawa PMN bukanlah alat PAS

PMI makin terdesak dengan keadaan semasa, di mana calitan hubungan dan kaderisasi antara mereka dan PAS menjadikan diri mereka terasing dari mahasiswa. Mahasiswa takut untuk berhubung dengan PMI kerana bimbang mereka dikaitkan dengan imej PAS yang ekstrim. Kekalahan mereka sejak pertengahan dekad ini menandakan bahawa satu reformasi maha agung perlu dilakukan untuk membuang imej PAS daripada PMI, GAMIS dan BBMN.

Antara perkara yang diwarwarkan adalah kemasukan mantan Presiden PMI ke dalam UMNO. Ini merupakan suatu strategi yang dilaksanakan untuk mengelirukan mahasiswa. GAMIS, BBMN dan PMI sedar bahawa sukar untuk mereka bertanding di dalam pilihanraya ini, tetapi mereka menyedari taktik ini merupakan salah satu taktik yang wajar dan mungkin berkesan dalam membuang palitan najis PAS pada tubuh mereka.

Maka, syura Jemaah Islam Kampus memutuskan untuk mengizinkan juak-juak mereka terutamanya yang mengepalai PMI agar mendaftarkan partai baru ini demi kepentingan jamaah di masa hadapan. Jika pihak Aspirasi menuduh PMI berkait dengan PAS, maka bolehlah mereka katakan bahawa mereka juga menentang PAS yang dibuktikan dengan pendaftaran PMN. Ini disambut dengan anggukan dari PAS yang menyedari bahawa mereka tidak rugi dengan PMN kerana yakin PMN akan kalah teruk sampai hilang wang pertaruhan kerana tiada sokongan. Sehubungan itu juga, PMN akan dijadikan kambing tunggangan untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional.

Jika dilihat kepada kenyataan media PMN, kebanyakan protes mereka adalah kepada kerajaan BN yang memerintah dan tidak ada pendedahan kebobrokan PAS ataupun parti-parti pembangkang lain. Sepatutnya, jika PMN ikhlas, pendedahan kelembapan dan ketidakefisienan Kerajaan Kelantan sepatutnya diutamakan kerana biasanya kubu kuat PMI adalah di Akademi Islam. Akademi Islam terkenal dengan lebih separuh daripada mahasiswanya adalah mahasiswa Kelantan. Oleh itu, wajar kempen PMN ditumpukan di Kelantan, serta seterusnya Terengganu dan Kedah jika benar-benar PMN ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat. Puncanya adalah "peluang" untuk menjadi wakil rakyat bagi calon-calon PMN adalah lebih tinggi di negeri-negeri tersebut.

Maka, "badut" yang sepatutnya dilawan dan ditentang oleh PMN bukannya BN tetapi PAS. Badut besar inilah yang sepatutnya ditentang untuk memastikan suara mahasiswa bergema di Parlimen. Ini seharusnya dilakukan atas dasar lebih mudah calon yang akan diperolehi, lebih ramai mahasiswa Pantai Timur yang ada, dan faktor pecahnya undi calon PAS dan UMNO di kawasan tersebut. Faktor-faktor inilah yang patut dijadikan bahawa musuh PMN bukanlah UMNO tetapi PAS.

Melainkanlah, jika PMN hanyalah lawak jenaka GAMIS dan BBMN semata-mata untuk mengaburi mata mahasiswa terutamanya mahasiswa Universiti Malaya.

Mempopularkan gerakan PMI yang semakin hilang dinamisnya

PMI dan gerakan seumpama dengannya telah hilang dinamismenya. Mereka merindui zaman kegemilangan mereka sewaktu 80'an dan 90'an. Peristiwa Demonstrasi M Nasir, Tunjuk Perasaan Jalanan sempena Reformasi dan juga peristiwa pembakaran DTC masih menjadi mimpi manis mereka. Namun, selepas zaman Fuad Ikhwan, pemimpin PMI dan GAMIS menjadi kecut.

Mereka bimbang jika diteruskan usaha-usaha ini, rahsia mereka semakin terbongkar. Pemimpin PMI memang nampak gah, namun, "latihan" semasa tamrin tidak sama dengan soal siasat polis. Entah, berapa banyak maklumat rahsia PMI terdedah apabila satu persatu pemimpin PMI ditahan polis.

Oleh itu, PMI mengambil jalan hikmah iaitu untuk tidak lagi berdemonstrasi ala-ala Keadilan. Jalan hikmah ini juga diambil setelah menyedari mahasiswa secara massa menolak jalan huru-hara ini. Silent majority mahukan keamanan dan perkara diterjemahkan dalam siri-siri pilihanraya kampus yang lepas.

Maka, cara yang paling mudah untuk mendapatkan populariti yang makin menjunam adalah dengan cara melakukan perkara luar biasa dan tidak masuk dek akal. Salah satunya, adalah dengan menubuhkan parti politik. Suatu tindakan yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana pemimpin mahasiswa dari zaman azali. Sehebat-hebat Anwar pun tidak menubuhkan parti politik di zaman kemuncaknya. Maka, tindakan ini secara mudah dan murah menaikkan nama pimpinan mahasiswa PMI tahun 2007/08 di atas kertas.

Namun, matematik pimpinan PMI ini mungkin disambut paling kurang pun dengan gelengan jika tidak pun gelak ketawa berguling-guling oleh adik Adiputra. Ramai pimpinan mahasiswa yang tumpas di dalam pilihanraya walaupun menjadi calon parti yang kuat sokongan kewangan dan mesin kempennya. Mungkin nama Shamsuddin Momer, Nazri Din dan Ahmad Fazli Ramli boleh dijadikan rujukan oleh juak-juak PMN.

Penubuhan PMN juga boleh disimpulkan sebagai satu usaha juga oleh pihak PMI di Universiti Malaya untuk naik semula setelah mahkota mereka dirampas oleh mahasiswa PAS UIA. Dengan adanya PMN, maka mereka akan dipandang semula oleh pemimpin Pemuda PAS. Dengan ini, tahun-tahun memalukan PMI di Universiti Malaya dapat ditebus dengan harapan 'ranking" mereka dalam jemaah-jemaah kampus kesayangan PAS dapat dinaikkan seperti dahulu.

Kesimpulan yang boleh dibuat adalah ternyata penubuhan PMN hanyalah strategi peringkat rendah yang tidak bersangkut paut dengan kepentingan rakyat. Ia hanyalah strategi untuk kepentingan politik cetek beberapa kerat manusia di dalam PMI, GAMIS, BBMN dan penasihat-penasihat mereka di Universiti Malaya dan Pemuda PAS.

Oleh itu, angan-angan mereka untuk popular seperti Mawi di dalam kampus ataupun di luar tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana perkiraan politik mereka tidak lebih daripada lawak jenaka yang melayakkan pimpinan PMI, GAMIS, dan BBMN menjadi Raja Lawak pilihanraya umum kali ini.

Posted at 11:38 am by maharaja_zhou