Jabdin bin Juhat
Mahasiswa aspirasi telah menguasai kampus dalam pilihan raya kampus 2005/2006. Terasa begitu puas berusaha selama 5 tahun untuk merampas kesemua kerusi kampus yang dipertandingkan. Lebih puas lagi apabila gerakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) sebagai pusat perkaderan PAS selama ini telah tumbang dan kalah paling teruk dalam sejarah politik kampus.
Jika dulu UM dan UKM begitu kental namun UM dapat dirampas. Kali ini lebih luar biasa apabila UIAM turut dapat dikuasai. Apa pun yang dikatakan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebuah pertubuhan haram yang pro pembangkang atau pemimpin dan penulis PAS dalam media mereka, pedulikan melaun-melaun ini. Melaun-melaun ini melalak seolah-olah mereka lupa tentang peranan mereka sebelum ini di era tahun 1990an. Mahasiswa di IPTA sudah membuat pilihan untuk memilih kepimpinan aspirasi.
Sebagai bekas aktivis mahasiswa tahun 2000 penulis tidak lupa lagi bagaimana gerakan pembangkang dan mahasiswa pro pembangkang menguasai kampus. Sehingga ke hari ini pun sudah terbukti lebih ramai mahasiswa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang menjadi AJK PAS di peringkat negeri dan nasional.
PMI terbukti melahirkan pemimpin muda PAS melalui bimbingan latihan PAS seperti Mohd Hafeez Ab. Samad, Presiden PMUM 1999/2000 (bekas exco PMIUM) yang kini sebagai Pegawai Eksekutif Pejabat Agung PAS, Taman Malewar, Mohd Nazri Chik Timbalan Presiden PMIUM 1999/2000, dipilih sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Pusat 2005/07, Mohd Izwan Hj Mohd Yusof Presiden PMIUM sesi 2001/2 menjadi Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Zaharuddin Abdul Rahman , Presiden PMIUM sesi 1999/2000 yang menjadi Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohd Misbahul Munir Masduki , Presiden PMIUM sesi 1986/87 yang kini Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Khoirol Anwar Mat Zuki @ Mat Sabu Presiden PMIUM sesi 2003/04 yang kini Exco Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Apapun kita tinggalkan cerita melaun-melaun kampus dan luar kampus ini. Kita fokus kepada mahasiswa aspirasi yang menguasai IPTA sekarang ini.
Menang dan buat kerja
Menang bererti masa melakukan kerja sudah bermula. Lakukan kerja jangan banyak cakap. Buat perancangan aktiviti sepanjang tahun. Pengurusan organisasi mesti lebih cekap meliputi pengurusan pentadbiran, sumber manusia, kewangan dan sumber maklumat. Hubungan dengan pentadbir universiti dan pihak kerajaan mesti dimanfaatkan bagi melaksanakan segala aktiviti. Dana kewangan melaksanakan projek akan tergendala jika hubungan tidak baik. Namun jangan terlalu ditarik hidung oleh universiti. Mesti ada pendirian yang tegas. Pemimpin mahasiswa mesti berani menyuarakan pandangan secara berfakta bukan emosi semata-mata.
Pelaksanaan aktiviti
Buat aktiviti yang perlu sahaja. Jangan berbalah dengan persatuan mahasiswa kolej atau mana-mana persatuan yang menyokong aspirasi. MPP mesti melaksanakan aktiviti bertaraf peringkat kebangsaan dan antarabangsa sahaja. Biarkan persatuan mahasiswa kolej melakukan aktiviti yang biasa seperti program bakti siswa, jualan di gerai, pameran dan lain-lain. MPP boleh melaksanakan Persidangan Pemimpin-pemimpin Mahasiswa ASEAN, Persidangan Mahasiswa Asia Timur sehinggalah ke peringkat dunia. Sejak tahun 2004 tidak ada lagi persidangan antarabangsa yang dilakukan oleh Majlis Perwakilan Pelajar.
Mencekapkan pengurusan maklumat dan kemahiran berkomunikasi
Agenda mahasiswa aspirasi mesti memantapkan pengurusan maklumat melalui penggunaan media cetak dan elektronik. Publisitikan segala akviti secara meluas. Mantapkan kemahiran menulis dalam media sehingga semua isu-isu semasa mahasiswa di universiti dapat disebarkan kepada semua rakyat Malaysia. Tingkatkan kemahiran berkomunikasi seperti latihan pidato dan debat. Mahasiswa pro pembangkang memang telah dilatih dalam hal ini. Sebab itu mahasisa pro pembangkang tidak gugup untuk bercakap dikhalayak orang ramai.
Agenda yang penulis sarankan bukan suntikan ideologi kepada mahasiswa aspirasi tetapi sekadar saranan untuk melaksanakan agenda asas memantapkan mahasiswa aspirasi yang mengguasai kampus sekarang.Lakukanlah sebelum terlambat. Pilihan di tangan mahasiswa menentukan mahasiswa aspirasi di masa depan. Mahasiswa aspirasi bukan sekadar perlukan agenda asas yang penulis maksudkan di atas tetapi lebih jauh dari itu ialah ideologi perjuangan. Kerana yang mengekalkan perjuangan adalah ideologi.
No comments:
Post a Comment