Sunday, January 20, 2008

Bertemu Buku dengan Ruas



Jabdin bin Juhat
Jabdin79@yahoo.com

Dinasti terakhir runtuhnya kota penguasaan gerakan mahasiswa pro pembangkang ialah tahun 2002 di zaman Abdullah Abdul Karim bekas Presiden MPP UKM yang kini telah menjawat jawatan Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar PAS. Penulis mengenali Abdullah Karim yang ketika itu adalah Setiausaha Agung MPP UKM. Sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, sesekali di zaman itu memang kami begitu lantang menyuarakan pandangan kami kepada kerajaan.

Saya masih ingat di Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Malaysia, Universiti Utara Malaysia pada 5 hingga 7 Mei 2004 dalam satu sesi dialog bersama Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad saya mempersoalkan sistem penggiliran ketua menteri Sabah dan Abdullah Abdul Karim mengetengahkan pendapat mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Katanya “Mahasiswa tidak menolak AUKU tetapi memohon agar beberapa seksyen AUKU dipinda” . Saya tak pasti kini pendapat beliau setelah menjadi Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar PAS. Adakah mahu AUKU dimansuhkan terus?

Aspirasi tidak utamakan pilihan raya kampus

Sebelum tahun 1999 mahasiswa aspirasi tidak ambil kisah sangat mengenai politik kampus. Namun setelah mereka melihat mahasiswa pro pembangkang merosakkan suasana kampus dengan hadirnya parti-parti pembangkang di kampus melalui sistem perkaderan dalam PMI, ceramah, demonstrasi haram, kempen pilihan raya umum dan kampus mereka bangun membersihkan imej buruk ini.

Utusan Malaysia, 2 September 2001, melaporkan dalam berita muka depan bertajuk “Gerakan bawah tanah di IPTA-Bekas pelajar UTM dedah aktiviti berselindung di sebalik usrah dan tamrin.”. Pendedahan Wan Norhayati Wan Alias, bekas aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia dalam gerakan bersumpah mendedahkan penglibatannya dalam “Tamrin Jelas Fikrah” yang mengaitkan dirinya di kader oleh parti PAS.

Kes ini menjadi senjata yang amat berguna untuk menolak mahasiswa pro pembangkang di kampus. Sejarah begitu pantas berubah, mahasiswa aspirasi (menyokong unversiti dan Kerajaan) begitu hebat menumbangkan satu persatu musuh mereka.

Pada sesi 2002/03, mahasiswa Aspirasi telah menguasai 9 buah IPTA berbanding dengan 15 buah IPTA di seluruh Malaysia. Prestasi PAS di kampus semakin buruk pada sesi 2003/2004 apabila PAS hanya berjaya mengekalkan sokongan di Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa sedangkan 15 IPTA telah beralih kepada Aspirasi Mahasiswa.

Sesi 2004/2005 menyaksikan penguasaan 17 IPTA apabila mahasiswa pro pembangkang UM berjaya ditumbangkang kecuali UIAM. Sejarah gemilang terus bersinar pada sesi 2005/2006 apabila semua 18 IPTA telah berjaya dikuasai termasuk UIAM kubu kuat mahasiswa pro pembangkang. Bagaimanapun sesi 2006/2007 UIAM kembali ditawan semula oleh mahasiswa WUFI (mahasiswa pro pembangkang).

Apakah rahsianya kekuatan mahasiswa apirasi ini?

Mahasiswa aspirasi bukan budak kecil lagi seperti ketika mereka muncul dalam era 90an. Mereka bergerak seperti gelombang dan cara luar biasa apabila berjaya mengubah ‘mood’ mahasiswa kampus untuk selesa bersama kerajaan dan universiti. Mereka mendominasi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri apabila pelbagai pandangan mereka mengenai kampus, isu semasa negara, pendidikan dan pembangunan negara dapat disalurkan melalui platform ini.

Mahasiswa aspirasi tidak perlu ke jalan raya untuk berdemonstrasi secara haram. Mereka kini jauh lebih bijaksana. Mereka mengatur gerakan hanya dari meja sesekali turun ke tanah. Hari ini mahasiswa aspirasi menguasai strategi Sterling Seagrave bahawa;

“Umpanlah mereka dengan prospek keuntungan, jadikan mereka kebingungan. Gunakan kemarahan untuk mengganggu mereka, bersikap rendah diri untuk menjadikan mereka angkuh. Letihkan mereka dengan ‘melarikan diri’, dan cetuskan perbalahan antara mereka. Serang mereka ketika mereka tidak menduga, apabila mereka tidak bersedia. Licik sehingga anda tidak kelihatan. Bertindak penuh misteri sehingga anda sukar difahami. Kemudian anda akan kuasa takdir lawan anda”. Sterling Seagrave : Lords of the Ring – pg 30.

Mereka sudah pandai menggunakan teknik perang Sun Tzu betapa kemenangan dalam peperangan tanpa pertumpahan darah itu lebih penting dan utama. “ Dalil perang mirip dengan kudrat air. Seperti air selalu menghindari tempat yang tinggi letaknya dan mengalir ke tempat yang rendah letaknya, demikianlah tentera selalu menghindari bahagian yang padat dan memukul bahagian yang kosong. Seperti air mengatur alirannya sesuai dengan bentuk tanah yang dilaluinya, demikianlah tentera mengatur siasat untuk mencapai kemenangan sesuai dengan keadaan musuh yang dihadapinya”

Oleh itu mahasiswa pro pembangkang yang telah terlatih sejak sekian lama melalui perkaderan PMI, anda sekarang berhadapan “Buku dengan Ruas”. Pilihan raya kampus 2006/2007 membuktikan betapa mahasiswa aspirasi terus menjadi pilihan. Kini giliran mahasiswa aspirasi mengekalkan dinasti mereka.


.

No comments: