Sunday, January 20, 2008

PAS dan ANWAR sokong AUKU


Jabdin bin Juhat
Jabdin79@yahoo.com

Kerajaan mengambil keputusan muktamad untuk tidak memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang telah dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini sejak lebih 35 tahun lalu. Pengumuman ini dibuat oleh YAB Dato Sri’ Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) januari lalu.

Ahli MPPK yang terdiri daripada Presiden dan Yang Dipertua MPP telah menyerahkan memorandum kepada YAB Timbalan Perdana Menteri mengekalkan AUKU. Ini adalah cermin kekuatan. Dominasi MPP aspirasi 17 IPTA ini telah memudahkan keputusan ini dilakukan berbanding tahun 2001.

Penulis masih ingat betapa sukarnya menubuhkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan ketika itu. MPP aspirasi hari ini harus berterima kasih kepada Presiden aspirasi tahun 2001 seperti Nazrul Fazami Mohamed (UiTM), Che Ahmad Daud (UPSI) dan Awang Adih Tuah (UNIMAS). Kami rasa berbangga apabila kami menjadi pengasas MPPK.

Suara-suara memansuhkan AUKU adalah antara agenda mahasiswa anti-establishment yang telah diwarisi sejak 35 tahun lalu. AUKU sudah menjadi agenda politik bukan sahaja kepada mahasiswa tetapi juga parti politik di negara ini.

PAS adalah penyokong kepada penggubalan AUKU di Parlimen. Pada 8 April 1975 Menteri Pelajaran ketika itu YB Dr Mahathir Mohamad membentang AUKU di Parlimen. PAS tidak membantah sedikitpun ketika pindaan rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti di Parlimen.

Antara wakil PAS yang hadir dalam sidang Parlimen itu ialah Tuan Hj Nik Aziz Nik Mat (Pengkalan Chepa), Tuan Hj Mustapha Ali (Kuala Terengganu) ketika itu Setiausaha Parlimen Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tuan Hj Hassan Adli (Bagan Datok) sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat, Tuan Hj Yusof Hj Abdullah (Ulu Muda).

Mengapa PAS tidak membantah dan menghalang AUKU 1975? Mereka mungkin boleh memberi alasan bahawa PAS telah menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974 tetapi mereka masih boleh mengetengahkan pandangan mereka? jika mereka merasa AUKU sebagai undang-undang yang kejam dan drakonian mengapa mereka tidak sahaja bersuara untuk beri pendapat? Tidakkah mereka ini orang yang berilmu agama dan tahu undang-undang untuk memutuskan sesuatu itu boleh atau tidak boleh dilaksanakan. Apapun PAS terlibat sebagai jemaah yang memutuskan akta itu di Parlimen.

Sebaliknya DAP ketika itu membantah AUKU diluluskan di Parlimen. Hairannya dekad 90an DAP kurang bersuara tentang AUKU sebaliknya PAS lebih bising dan bersungguh-sunggu memansuhkan AUKU. Ini ada kaitan dengan penglibatan para pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam di kampus dengan parti itu. Hanya pada tahun 2005 selepas Soh Sook Hwa seorang pelajar dari USM didakwa di atas kesalahan terlibat dengan kempen pilihan raya umum 2004 barulah DAP giat semula bersunggung-sungguh memansuhkan AUKU.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim sewaktu di zaman mudanya di Universiti Malaya yang aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu UM dan PKPIM. Beliau adalah pemimpin mahasiswa yang begitu vokal menentang AUKU dan bersungguh-sungguh AUKU dimansuhkan.

Bagaimanapun sewaktu menjawat jawatan Menteri Pelajaran pada tahun 1990 Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 1975) tidak akan dimansuhkan serta diserap ke dalam Akta Pendidikan. Kenyataan ini dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia 28 Ogos 1990 ketika beliau merasmikan Persidangan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 27 Ogos 1990.

Beliau berkata “ Saya tidak pernah campurtangan dalam hal urusan universiti, tetapi banyak yang bercakap mengenai kebebasan atau autonomi universiti yang mahu mengenepikan dasar pendidikan negara. Mereka mahu kebebasan sepenuhnya. Ini merbahaya”.

Katanya lagi “ Ada yang mengugut saya bahawa jika tidak pinda akta itu sekarang, mereka akan sokong pembangkang. Saya harap mereka tidak akan berbuat demikian walaupun golongan ini kecil sahaja.”

Selepas dibebaskan dari penjara satu Program Anwar Bersama Mahasiswa telah di adakan di Hotel Shah Village Petaling Jaya pada 9 Januari 2005. Penulis diberitahu seorang mahasiswa bertanya mengapa sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, AUKU tidak dimansuhkan. Agaknya apa jawapannya? Adakah seperti di atas atau beliau berkata memang dari dulu beliau berniat memansuhkan AUKU?

Oleh itu kekallah sehingga sekarang seksyen 15 (1), 15 (2) dan 15 (3) yang membataskan kegiatan pelajar untuk berpersatuan dan bersuara khususnya terlibat dengan parti politik atau kumpulan tertentu. Seksyen ini juga yang menjadi asas perjuangan pertubuhan haram seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN). Mengapa? sebab mereka mahu jadi ahli politik pembangkang, bergabung dengan NGO luar, berdemontrasi dan lain-lain lagi. Isu tatatertib lain yang disenaraikan dalam AUKU tidak penting yang penting politik sahaja.

Jadi siapakah yang paling ikhlas berjuang memansuhkan AUKU? Tidakkah AUKU dipolitikkan? Bolehkah mahasiswa menerima individu dan kumpulan tertentu yang mempolitikkan AUKU untuk kepentingan politik dan peribadi?.Layakkah mereka bercakap soal keadilan jika keadilan dipermainkan?

Sebagai dorongan kepada mahasiswa aspirasi penulis menyatakan bahawa anda tepat memutuskan supaya AUKU tidak dimansuhkan. Keputusan anda akan menjadi rekod dalam sejarah kepimpinan mahasiswa.


No comments: