Sunday, January 20, 2008

AUKU Lemah?


Jabdin bin Juhat
Jabdin79@yahoo.com

Sahabat saya seorang peguam yang dulu aktif dalam kepimpinan mahasiswa berkata AUKU yang ada sekarang masih lebih dari segi membuat pendakwaan dan pelaksanaan kepada mahasiswa yang terlibat dengan kegiatan yang bertentangan dengan peraturan universiti. Walaubagaimanapun AUKU tetap relevan sehingga hari ini dan tidak perlu dimansuhkan. Apa yang perlu katanya ialah memantapkan pelaksanaannya.

Saya bersetuju dengan pendapat itu. Terdapat banyak kes kesalahan mahasiswa tidak boleh didakwa menggunakan AUKU. Malah jika terbukti bersalah pun (melalui Kaedah-Kaedah Tatatertib) hukuman yang ada masih terlalu rendah berbanding apa yang diputuskan dalam AUKU itu sendiri. Ada kes di IPTA mahasiswa yang terlibat dengan pilihan raya umum 2004 jelas bersama dengan parti pembangkang tetapi hanya dihukum denda RM 200 ringgit.

Kata sahabat saya itu, Seksyen 15 AUKU yang ada hari ini masih kabur dan lemah dari segi melaksanakannya. Seksyen 15 AUKU yang menjadi punca penentangan mahasiswa sepatutnya dipinda seperti ini;

“ Tiada mana-mana pelajar atau pertubuhan pelajar, tanpa izin bertulis daripada Naib Canselor dan dibenarkan oleh Perlembagaan Universiti boleh menjadi ahli atau menyertai
(a) Mana-mana parti yang berasaskan politik;
(b) Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan;
(c) Mana-mana persatuan samada yang berdaftar di bawah
Pendaftar Persatuan atau tidak;
(d) Mana-mana kesatuan sekerja; atau
(e) Mana-mana organisasi tetap atau sementara di luar kampus Universiti;

Jika AUKU dipinda seperti diatas maka pelajar yang terlibat dengan kegiatan luar adalah lebih jelas. Mahasiswa dilanda sindrom tidak habis membaca AUKU. Segala aktiviti yang dianjurkan yang dilarang oleh AUKU masih boleh diadakan dengan syarat mendapatkan kebenaran daripada Naib Canselor. Berapakah mahasiswa yang menyedari hal ini? Penganjuran aktiviti pembangkang masih boleh diadakan tetapi pelaksanaannya mestilah mempunyai justifikasi yang kuat. Malah terdapat agensi kerajaan yang menganjurkan konvensyen mahasiswa menjemput pemimpin pembangkang. Ini sudah dipraktikkan!!!

Mari kita lilihat dari segi pelaksanaan hukuman AUKU. Dalam seksyen 15 (5) menyebut “Sesiapa jua yang melanggar atau tidak mematuhi peruntukan-peruntukan seksyen kecil (1), (2), (3) atau (4) adalah bersalah atau suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda daripada RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau denda dan penjara kedua-duanya.”

Dari segi praktiknya bolehkah universiti melaksanakan hukuman RM 1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan? Bukankah ini kuasa mahkamah? Tidakkah ini melibatkan kuasa polis bagi tujuan pendakwaan di mahkamah? Jika melibatkan polis tidakkah ini menjejaskan autonomi universiti? Sejak AUKU digubal tidak pernah mahasiswa dipenjarakan menggunakan akta ini. Ini bermakna universiti atau HEP tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukuman ini.

Umumnya Undang-Undang dan Peraturan Pelajar terdapat dalam tiga bentuk iaitu AUKU (Akta 30) yang digubal oleh Parlimen, Perlembagaan UniversitiContoh USM (P.U.(A) 107/1998)dan Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti Contohnya Tatatertib Pelajar USM 1999(P.U.(A) 266/1999). AUKU yang digubal parlimen merupakan panduan kepada perlembagaan universiti dan Kaedah-kaedah Tatatertib. Tetapi adakah pemimpin mahasiswa mengetahui dan boleh membezakan ketiga-tiga ini?

Pelaksanaan AUKU hari ini ialah melalui Kaedah-kaedah Tatatertib Universiti yang dibuat oleh universiti (Lembaga Pengarah Universiti). Di sinilah disenaraikan peraturan dan hukuman yang dijalankan oleh universiti seperti tatatertib am, larangan am, menghadiri kuliah, penggunaan teks kuliah, plagiat, kehadiran peperiksaan, kelakuan semasa peperiksaan, menganjurkan perhimpunan, pembesar suara, sepanduk, penerbitan, ,kegiatan di luar kampus, terlibat dalam pekerjaan, representasi, judi, minum arak , artikel bahan lucah, dadah dan racun, kebersihan dalam kampus, buat bising, pemeriksaan gangguan mental, tempat tinggal dalam kampus, pakaian pelajar lalulintas dan lain-lain lagi.

Ini bermakna kes-kes demonstrasi secara haram dan terlibat dengan pertubuhan haram boleh diambil tindakan oleh universiti melalui kaedah-kaedah tatatertib seperti kegiatan luar kampus dan representasi yang boleh ditafsirkan menjejaskan imej universiti di luar kampus. Tetapi sehingga hari ini sejauhmana pelaksanaannya terhadap mahasiswa?

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), Gerakan Mahasiswa Maju (GMM), dan lain-lain lagi pertubuhan haram masih wujud di universiti. Sehingga ke hari ini tiada satu universiti pun yang berani membuat pendakwaan terhadap mereka melalui AUKU atau Kaedah-Kaedah Tatatertib Universiti.

Umumnya 5 hukuman yang boleh dilaksanakan melalui Kaedah-kaedah Tatatertib iaitu amaran, didenda tidak melebihi RM200.00, dilarang dari mana-mana bahagian di universiti bagi tempoh yang ditetapkan, digantung menjadi pelajar bagi tempoh yang ditetapkan dan dipecat dari universiti. Disinilah diwujudkan satu badan oleh universiti iaitu Jawatankuasa Tatatertib Universiti untuk membincangkan kes-kes tatatertib pelajar.

Ada baiknya kerajaan meminda seksyen 15,15B dan 15C AUKU sekarang yang ternyata terdapat kelemahannya. Pindaan AUKU mestilah lebih keras, tegas dan memberi pengajaran. Pelaksanaan AUKU melalui seksyen seksyen 15 (5) AUKU mesti dipraktikkan bagi memberi pengajaran kepada mahasiswa yang terlibat dengan kegiatan haram menjurus kepada ancaman keselamatan negara. Kerajaan tidak perlu melonggarkan atau memansuhkan AUKU. Universiti pula perlu memperkasa Kaedah-kaedah Tatatertib Universiti agar lebih relevan dengan keadaan semasa.

Kepada pemimpin mahasiswa yang menentang AUKU, janganlah salahkan nyamuk kelambu dibakar. AUKU yang digubal di Parlimen adalah sebagai panduan tetapi pelaksanaannya adalah melalui Kaedah-kaedah Tatatertib Universiti masing-masing. Kuasa untuk menentukan Kaedah-kaedah Tatatertib Universiti adalah terletak di bawah bidangkuasa Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan kuasa ini di berikan kepada LPU melalui peruntukan seksyen 16C AUKU. Sekiranya terdapat cadangan untuk meminda dan bantahan terhadap kaedah tatatertib, cadangan dan bantahan tersebut hendaklah di kemukakan kepada LPU setiap universiti berkenaan dan sebarang pindaan yang di buat oleh LPU tidak akan melibatkan sebarang pindaan terhadap AUKU.

Oleh itu sudah tiba masanya pemimpin mahasiswa mengkritik secara bijaksana terhadap universiti dan Lembaga Pengarah Universiti yang menentukan Kaedah-kaedah Tatatertib Universiti bukan AUKU (Akta 30) yang digubal oleh kerajaan yang jelas banyak melahirkan pemimpin negara, birokrat, teknokrat dan korporat.



No comments: