Sunday, January 20, 2008

MAHASISWA IDEALIS DAN PRO ASPIRASI KERAJAAN

MAHASISWA IDEALIS DAN PRO ASPIRASI KERAJAAN

Pilihan raya kampus sudah pun berlalu dengan menyaksikan satu perubahan yang besar dan mengejutkan. 17 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menjalankan pilihanraya secara serentak, 15 daripadanya telah berjaya dikuasai oleh calon pro aspirasi kerajaan. Yang masih bertahan ialah UM dan UIAM, bagaimanapun perubahan tetap berlaku apabila berlaku pertambahan kerusi di kedua-dua universiti ini. Sudah tentu dengan keputusan ini memberikan impak yang besar dalam menentukan corak kepimpinan mahasiswa yang sudah sekian lama dikuasai oleh pihak pembangkang.

Perlabelan

Isu perlabelan mahasiswa pro aspirasi kerajaan dan pembangkang sudah tidak dapat dibendung, malahan terlalu berleluasa digunakan oleh media massa sama ada media kerajaan atau pembangkang. Reaksi terhadap label ini pelbagai. Antaranya:

1. Kenyataan Muhammad Hisyamudin Baharudin, Naib Presiden PKPIM dalam Majalah Minda ruangan pendapat keluaran Edisi November 2003“ Isu perlabelan-proaspirasi kerajaan dan propembangkang tidak harus dipadang sebelah mata. Ini akhirnya menyebabkan anggota masyarakat di luar kampus beranggapan bahawa memang wujud kumpulan-kumpulan pelajar yang cenderung kepada politik yang bersifat kepartian. Media terus terang mencanangkan bahawa calon beberapa kampus manakala calon-calon pro pembangkang berjaya mengekalkan status quo di kampus-kampus veteran. Tindakan melabelkan calon ini harus dihentikan!”

2. Artikel Kamal Azman dalam Akhbar Mahasiswa Api Perjuangan, yang bertajuk “Gelombang pro aspirasi di kampus” keluaran November 2003, turut menggunakan istilah pro aspirasi kerajaan dan pembangkang. Katanya giliran mahasiswa pro kerajaan sudah mula menguasai kampus.

3. Berita bertarikh 5 September 2003 atau tahun-tahun sebelum ini yang melaporkan pilihanraya kampus seperti Berita Harian, Utusan, Harakah, laman web reformis, malaysiakini.com, dan lain-lain lagi.


Apakah kita akan menerima perlabelan seperti yang telah berlaku hari ini? Adakah istilah ini akan berkekalan? Jika begitu ertinya mahasiswa di negara ini mempunyai beberapa pilihan, iaitu membuat pilihan sama ada menyertai kem pro aspirasi kerajaan, pembangkang atau menjadi lebih intelektual mengkritik kedua-dua kem ini.

Apa susahnya membuat pilihan sama ada menjadi penyokong kuat kerajaan atau pembangkang. Membuat pilihan tidak bermakna meletakkan mahasiswa itu sebagai pemimpin kerajaan atau pembangkang. Menjadikan kita mahasiswa yang intelektualisme bukan diletakkan oleh orang lain tetapi kemampuan diri untuk menjadi seperti itu.

Ideologi Mahasiswa

Saya melihat isu perlabelan sebagai isu yang sihat. Kebangkitan dan keghairahan dalam kepimpinan kampus. Istilah atau label pula sentiasa berubah. Pada saya ini adalah perkembangan ideologi kampus. Jika dulu aliran komunisme, sosialisme, Pan Islamisme, dan nasionalisme, kini ideologi baru muncul iaitu pro aspirasi dan pro pembangkang. Ini tidak bermaksud aliran aspirasi dan pembangkang tidak pernah wujud kerana ia seringkali dimanifestasikan secara tidak ketara. Tetapi bermula tahun 2000 ia sudah menjadi istilah tegar dan terang-terangan sama ada berpihak kepada kerajaan atau pembangkang.

Kenapa menjadi ideologi? Faktor utama ialah persekitaran politik negara yang telah mempengaruhi gerakan politik mahasiswa. Mahasiswa menjadikan politik luar sebagai role model. Salah siapa? Menuduh kerajaan tidak adil kerana sejak tahun 70an lagi PAS sudah bertapak dan menebar pengaruh mereka di kampus. Bukankah sebelum ini aliran pro pembangkang menguasai kampus? Hanya tahun 2003 sudah berubah, Gelombang pro aspirasi kerajaan di kampus menjadi sindrom baru di kampus.

Kenapa perlu hipokrit? Dari mahasiswa sehingga kepada parti kerajaan dan pembangkang. Acap kali kita mendengar dari mana-mana pihak, jangan membuat label. Suara-suara ini bukan sahaja dari mahasiswa tetapi dari pemimpin parti. Bukankah isu label mahasiswa menjadikan mahasiswa semakin popular dari media seperti TV sehingga akhbar dan majalah? ia seperti menjadi ‘mahasiswamania’ bukan sekadar ‘Mahasiswa Juru Bicara Masyarakat’ tetapi lebih dari itu lagi.

Mahasiswa pro-aspirasi kerajaan dan Mahasiswa Idealis.

Tahun 2003, istilah dan ideologi yang dibawa oleh mahasiswa cuba dicorakkan lagi. Selepas pilihanraya kampus pada 4 September lalu terpampang di dada akhbar dan laman web mahasiswa tentang ‘pro aspirasi kerajaan, pembangkang dan istilah baru iaitu ‘mahasiswa idealis’. Mahasiswa pro pembangkang sudah bertukar kulit kepada mahasiswa Idealis. Beberapa tahun yang lalu akhbar-akhbar tabloid pro pembangkang khususnya harakah menjadikan isu kemenangan mahasiswa pro pembangkang sebagai tajuk utama muka depan, menunjukkan mahasiswa IPTA bersama-sama dengan parti pembangkang. Mari kita imbas kembali laporan media massa yang melaporkan pilihanraya kampus 5 September 2003 lalu. Rujuk jadual 1.
Laporan media seperti jadual 1 adalah seperti medan perang untuk melaporkan tentang pilihanraya kampus. Media yang lemah melaporkan berita terkini akan ketinggalan, lemah dan tidak popular. Walaupun berbeza pendapat tetapi menghidupkan suasana pilihanraya kampus, unik di dunia kerana pilihanraya kampus sudah seperti pilihanraya umum negara, semua media massa memberi publisiti.

Namun yang menarik ialah, mengapakah Harakah lidah rasmi PAS secara mendadak menukar label pro pembangkang kepada Mahasiswa Idealis yang suatu ketika dulu mereka begitu gagah mencanangkan kepada rakyat Malaysia tentang mahasiswa pro pembangkang? Apakah ini satu taktik baru politik pembangkang? Atau menutup malu atas kekalahan besar calon mereka di kampus? Strategi yang dirancang ini mudah dibaca. Adalah bijak sana menarik diri. Namun nampak bacul kepada mereka yang berperang mengundur diri mempertahankan prinsip perjuangan.

Kesangsian pertukaran label oleh media harakah dan laman web reformis sudah tentu mencetuskan keraguan. Ia berlaku selepas pilihanraya. Apakah lagi permainan media dan masyarakat kepada mahasiswa? Jika suatu ketika dalam akhbar ini saya pernah menulis tentang “Membetulkan persepsi masyarakat terhadap mahasiswa” nampaknya idea ini perlu digarap semula iaitu “Membetulkan persepsi mahasiswa terhadap masyarakat”. Masyarakat sangat dinamik dan boleh memperdayakan mahasiswa walaupun ia sebahagian daripadanya. Mahasiswa harus berhati-hati dengan masyarakat khususnya ahli politik yang boleh memerangkap mereka.

Kekalahan calon pro pembangkang di kampus cukup memalukan. Tiga universiti gagah dan dikatakan totok kepada pembangkang iaitu UKM, UPM dan USM jatuh ke tangan pro aspirasi kerajaan. Pendapat Kamal Azman, Akhbar Mahasiswa, artikelnya yang bertajuk “ Gelombang pro-aspirasi di kampus” cukup relevan. Katanya” Menanggalkan gelaran mahasiswa propembangkang dan menamakan dengan nama baru-mahasiswa Idealis, dianggap jalan paling selamat untuk membersihkan imej parti PAS dan sebagai satu usaha untuk menjana kekuatan semula kekuatan grassroot setelah hampir lumpuh di semua kampus”.

Implikasi kekalahan pro pembangkang di kampus, turut membawa kejatuhan Mahfuz Omar ketika itu sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS dalam Muktamar PAS baru-baru ini untuk merebut jawatan Naib Presiden. Bukankah Mahfuz mewakili golongan muda dan cukup popular dikalangan mahasiswa pro pembangkang?. Kegagalan pro pembangkang di kampus adalah kegagalan Mahfuz.

Mahasiswa harus terus mengembangkan idea baru. Mungkin ada baiknya selepas ini muncul golongan mahasiswa yang dipanggil mahasiswa neutralisme, anti partisan, anti Majlis Perwakilan Pelajar, ekstremis kebajikan, anti ekstremis Islamis, ektremis melayu, pejuang seni dan lain-lain lagi. Bagaimanapun idea baru muncul secara tiba-tiba seperti Mahasiswa Idealis yang lahir dari parti politik pembangkang mempunyai agenda yang tersembunyi. Maka mahasiswa harus bijak memikirkan perkara ini. - Sumber AM

No comments: